SHAH ALAM 18 JUN : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu berlapang dada dan tidak terus menutup pintu rundingan dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dalam usaha memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini.
Ketua Penerangan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Mohd Yusof Hadhari Saidon berkata, SPR harus jelas himpunan BERSIH 2.0 diadakan bukan untuk kepentingan parti politik tetapi untuk rakyat, yang cintakan keluhuran sistem pilihan raya.
Malah Mohd Yusof berkata, himpunan BERSIH 2.0 terpaksa diadakan setelah SPR dan kerajaan pemerintah gagal meneliti empat tuntutan BERSIH kali pertama pada tahun 2007 yang lalu.
Antara empat tuntutan itu ialah penggunaan dakwat kekal, penyemakan semula daftar pemilih, pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara serta akses media yang adil kepada semua pihak.
Sehubungan itulah, himpunan BERSIH 2.0 terpaksa diadakan menjelang pilihan raya umum ke- 13 kelak. Sempena himpunan kali kedua itu, dua lagi tuntutan ditambah yakni, bantahan penyalahgunaan institusi kerajaan dan lanjutan tempoh masa berkempen yang munasabah.
Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan Pengerusi SPR, Tan Sri ABdul Aziz Yusof menegaskan pihaknya akan menutup pintu rundingan kepada penganjur BERSIH 2.0 berikutan pihaknya telah memberi ruang itu sebelum ini. Abdul Aziz juga berkata pihaknya telah melakukan beberapa perubahan kearah pilihan raya yang lebih baik.
Bagaimanapun Mohd Yusof ketika dihubungi Tv Selangor berkata, sehingga kini tiada apa- apa perubahan yang dilakukan SPR dan salahlaku pilihan raya terus berleluasa.
“Sebelum inipun terdapat tuntutan yang dibuat oleh Bersih tetapi banyak yang tidak dilaksanakan. Yang jadi persoalan sekarang ini tuntutan yang lepas itu belum dilaksanakan sebab itu bagi saya tuntutan itu akan dibuat sekali lagi untuk desak SPR ini supaya serius dengan pandangan daripada masyarakat atau rakyat.
Mohd Yusof juga membidas kenyataan Abdul Aziz yang mengutuk himpunan aman itu dan angkuh berkata, refrendum rakyat untuk kali kedua pada 9 Julai ini tidak akan sesekali mengubah dasar dan sistem pilihan raya yang sedia ada.
“Demonstrasi satu cara yang saya rasakan perhimpunan yang mengumpulkan masyarakat dalam masa yang sama untuk kita nyatakan satu pandangan atau satu kenyataan utuk kita perbetulkan atau kita perbaiki sistem kerajaan yang ada iaitu seperti SPR dan sebagainya,” katanya.
sumber : tvselangor

SHAH ALAM 8 JUN : Perbicaraan kes rasuah bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo di tunda ke esok apabila Pengarah Syarikat Ditamas, Shamsudin Hayroni menggelabah ketika memberi jawapan dari kandang saksi.
Beliau tidak memberikan jawapan- jawapan dengan jelas dan kerap kelihatan murung apabila ditanya mengenai dua lot tanah yang di dakwa di jual kepada Khir Toyo pada harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran.
Isnin lalu, Shamsudin dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan Khir Toyo untuk melakukan rasuah bersabit urusniaga jual beli dua tapak itu.
Ditamas membeli dua lot Seksyen 7, Shah Alam pada harga RM6.5 juta pada tahun 2004 tetapi kemudian menjualnya kepada Khir pada harga RM3.5 juta sahaja pada tahun 2007.
Dua lot itu digunakan untuk membina apa yang disebut oleh pembangkang sebagai Istana Khir iaitu kediaman mewah dengan kos pembinaan didakwa mencecah RM24 juta.
Sebagai balasan, Khir Toyo selaku Menteri Besar ketika itu di dakwa memberikan Shamsudin dan Ditamas pelbagai kontrak.
Shamsudin kelihatan menggelabah apabila ditanya oleh pendakwaraya Abdul Wahab Mohamed mengenai keputusan Ditamas membeli dua tapak tanah itu sebelum dijual kepada Khir Toyo.
Hakim Mohtarudin Baki kemudian bertanya samada Shamsudin bersedia untuk terus memberi keterangan.
Samsudin berkata beliau mahu berbuat demikian tetapi sekali lagi membisu kepada persoalan yang ditanya oleh pendakwaraya.
Selepas berbincang dengan peguam Shamsudin, Hakim Mohtarudin kemudian memutuskan untuk menuda perbicaraan kepada esok.
Khir Toyo yang diikat jamin RM750,000 hadir di mahkmah hari ini diiringi dengan beberapa saudara maranya. Namun isteri beliau Zaharah Kechik tidak hadir.
Jika disabit kesalahan, Khir boleh dihukum penjara dua tahun atau didenda atau kedua- duanya sekali.
sumber : tv selangor

SHAH ALAM 8 JUN : Kerajaan negeri Selangor tidak pernah meluluskan kontrak tender pembersihan selama dua tahun kepada mana- mana kontraktor termasuk Alam Flora.
Sebaliknya, kerajaan negeri hanya memperbaharui tender tersebut kepada Alam Flora secara bulanan.
Menteri Besar, Tan Sri Badul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak tahu menahu tentang dakwaan kontraktor yang mendakwa mereka mendapat tander pembersihan dari kerajaan negeri selama dua tahun, iaitu dari tahun 2011 hingga 2013.
"Sebenarnya tak ada kontraktor yang menerima kontrak sebegitu, kontraktor yang ada dulu dengan Alam Flora Sdn Bhd, dikontrak bulan ke bulan jadi bagaimana pula kontrak bulan ke bulan boleh jadi kontrak dua tahun ?" soal Khalid.
Khalid menjelaskan, kerajaan negeri pada mulanya berhasrat untuk memberikan tander pembersihan selama dua tahun kepada Alam Flora, namun ia tidak dapat dilaksanakan akibat beberapa masalah teknikal diperingkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
"Alam Flora hanya mendapat kontrak bulan ke bulan, menunggu keputusan kementerian untuk memberikan kuasa sepenuhnya kepada Alam Flora walau bagaimanapun kementerian tidak dapat melaksanakan perkara tersebut oleh kerana beberapa masalah teknikal yang mesti diselesaikan."
Justeru Khalid berkata, jika terdapat kontraktor lantikan Alam Flora dijanjikan tender pembersihan selama dua tahun, ia bukan arahan dan tiada sebarang kaitan dengan kerajaan negeri.
Khalid berkata demikian mengulas dakwaan kontraktor lantikan Alam Flora yang terkesan akibat keputusan kerajaan negeri yang menamatkan perkhidmatan Alam Flora, 18 April lalu, setelah mendapat banyak aduan dari orang awam.
Pengurusan pembersihan itu dikembalikan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Bagaimanapun, Alam Flora masih dipertanggungjawabkan untuk mengutip sampah dari rumah ke rumah.
"Kerajaan negeri telah membuat keputusan mengenai operasi penggumpulan dan pelupusan sampah adalah di bawah Alam Flora, kontrak itu akan diberikan kepada Alam Flora tapi operasi mengenai pembersihan, cuci longkang dan juga penebasan rumput, pembersihan kawasan semuanya kita masukkan di bawah jagaan dan pengurusan PBT," katanya.
sumber : tv selangor
sumber : tv selangor


