Sudah sampai perasaan itu kepada saya sejak lama dahulu. Perasaan yang saya rasa adalah wajar dan terkadang saya merasakannya, ia sesuatu yang membuatkan saya kuat dan bersemangat. Tidak saya tahu, perasaan itu rupanya seperti pisau yang bermata dua. Pada satu sisi ia melindungi, namun pada satu sisi lainnya, secara diam ia melukai.
Syukurlah kepada Tuhan, yang maha mengasihani. Pada saat saya tidak tersedar saya melukai diri saya, seorang teman yang wajahnya memberikan kesan pejuang hidup yang kuat, duduk di hadapan saya pada suatu petang untuk berbicara berkenaan perasaan itu.
Penulis yang Disayang Tuhan
Semuanya bermula pada saat saya usai menyudahkan novel 'Penulis yang Disayang Tuhan'. Saya meraikannya dengan sepi dan sendiri di sebuah kedai makan, dengan sekeping roti canai kosong dan segelas teh tarik.
Ketika saya sendiri dan sepi, fikiran saya sebenarnya masih sibuk dengan banyak perkara. Sebagai seorang yang terdidik di universiti dalam jurusan ekonomi, tidak dapat tidak, saya memikirkan keadaan 'ekonomi' novel-novel saya.
Dalam congak-congak saya, tidak ada khabar yang gembira. 'Ekonomi' novel-novel saya boleh diumpamakan ekonomi negara-negara Afrika Tengah. Lelah juga saya pujuk-pujuk hati dengan prinsip penulisan yang saya cuba jaga selama ini. Menulis untuk memberi nasihat kepada diri sendiri kerana Allah, dan dengan itu saya tidak akan rugi apa-apa pun.
Sebenarnya memang saya tidak rugi apa-apa, malah mengikut congak saya, saya masih boleh berbahagia dengan royalti saya dan ia lebih daripada cukup. Namun itu cuma benar sekiranya wang itu untuk diri saya dan keluarga. Sedangkan pada hakikatnya ia tidak begitu, kerana saya punyai cita-cita lebih besar. Saya mahu membahagiakan lebih ramai saudara-saudara saya dan hasil penulisan adalah antara jalannya.
Benarlah wang bukan segala-galanya, tetapi untuk manusia seperti saya yang bersaudara dengan manusia-manusia yang seumur hidupnya berjuang demi sesuap nasi, wang setidak-tidaknya membuatkan mereka tahu, yang bahagia itu besar dimensinya. Itu tekad saya, mahu membantu sedaya-upaya.
Pada saat begitulah perasaan itu datang dan pada saat itu jugalah teman saya itu duduk di hadapan saya.
Tuhan Maha Mengasihani
Resah wajah saya terlihat juga walau sedaya upaya saya cuba senyum dan ketawa. Teman saya sangat pandai membaca wajah dan juga mungkin membaca hati. Bertanya dia kepada saya berkenaan resah apa yang tersamar pada wajah dan rusuh apa yang berlindung dalam hati.
Selepas beberapa ketika menyusun kata dalam kepala, saya berkata, "Ini bukan berkenaan ikhlasnya hati kerana saya sudah sedaya upaya cuba menjadi ikhlas, tetapi ia lebih kepada hakikat hati manusia. Bagaimana kamu mahu memujuk hati kamu supaya terus bersemangat apabila kamu membuat kebaikan, tetapi kamu tidak pernah memperoleh apa-apa petunjuk, untuk kamu tahu yang kebaikan itu adalah sesuatu yang perlu?"
Teman saya tersenyum lebar. Kesannya untuk hati saya pula, bercampur rasa senang dan keliru. Senang kerana dia tersenyum, namun pada saat lain keliru untuk apa senyuman itu.
"Usah khuatir, saya tidak akan berbicara berkenaan ikhlas. Saya yakin kamu pasti lebih maklum berkenaan perkara itu. Hanya satu perkara yang saya sangat yakin, kamu tidak pernah tahu jenis perasaan apa yang kamu sedang lindungi sekarang. Ketahuilah, itu adalah perasaan kasihan kepada diri sendiri."
Terdiam saya sesaat dan secara diam-diam saya cuba berfikir. Apakah saya sedang kasihan kepada diri saya?
"Itulah perasaan yang membunuh kamu dari dalam." Teman saya menyambung kata-katanya dengan yakin dan saya segera menatapnya penuh hairan.
"Tidak salah kamu kasihan kepada diri kamu. Namun kasihan yang bagaimana? Kamu hanya perlu kasihan pada saat kamu berbuat dosa. Kamu juga sangat perlu kasihan kepada diri kamu pada saat orang lain melakukan banyak kebaikan, kamu pula hanya duduk berpeluk lutut. Itu perkara-perkara yang memang patut kamu kasihani diri kamu. Namun tidak hal yang sebegini."
Baca lanjut di dingin.blogspot oleh Tuan Bahruddin Bekri