Hidup hanyalah sebuah perhentian sementara menuju percutian yang abadi. Lantaran itu, "Biar kepahitan itu pergi supaya kemanisan mengisi. Biarlah kekecewaan berlalu supaya kegembiraan mewarnai. Biarkan kegelisahan lenyap jangan kita hilang semangat. Biar penderitaan itu menyapa supaya kekuatan kita jana semula. Biar rebah, jangan berubah, biar terbuang, terus berjuang. Hidup ini indah apabila segalanya kerana Allah."
Fahamilah sesungguhnya, hidup ada pasang surut, ada turun naik, ada susah senang, sentiasa berpasangan setiap apa yang berlaku. Semuanya adalah proses dan perjalanan yang perlu kita semua lalui bagi mendapat pengalaman dan kematangan diri. Ini membolehkan kita memupuk sifat ihsan dalam diri.
Hakikat yang perlu kita fahami dengan sejelasnya, yang perlu diyakini dengan sebenarnya adalah setiap dan segala sesuatu itu ada dan akan terjadi sesuai dengan ketentuan qadak dan qadar. Ini adalah keyakinan setiap Muslim, landasan yang menjadi prinsip berfikir bagisetiap dari kita, umat Nabi Muhammad. Keyakinan segala sesuatu di dunia ini tidak akan pernah ada dan terjadi tanpa pengetahuan, izin dan ketentuan Allah. Tiada satu pun yang kita dengar, kita lihat, kita alami mahupun apa yang berlaku kepada setiap orang daripada kita yang terlepas dari pengetahuan Allah. Tiada satu pun yang terjadi tanpa pengetahuan daripada Allah. Inilah hakikat sebenar segala peristiwa, kejadian yang berlaku di atas muka bumi ini. Ini bermakna segala peristiwa yang kita lalui setiap hari adalah dalam pengawasan dan pengetahuan Allah.
Mungkin bahagia yang datang bertamu, kita miliki segala yang dunia janjikan ataupun mungkin juga musibah ataupun takdir yang menimpa saat ini, berlaku pergolakan rumah rangga, pasangan berubah hati, anak-anak menguji dengan sikap terkeji, jiran mengadu domba dan memfitnah, perniagaan yang rugi, dan sahabat yang menyepikan diri.
Justeru, bayangkan Allah mengetahui detik hati dan tingkah laku kita. Apa yang kita sorokkan daripada pengetahuan ayah dan ibu kita diketahui, apa yang kita sembunyikan daripada pengetahuan rakan, suami, isteri, anak-anak dan majikan kita juga diketahui oleh Allah. Segalanya di bawah kuasa dan pengetahuan Allah.
Semua peristiwa yang berlaku hanya seperti gelombang yang membawa buih lantas hilang dibawa arus. Inilah kehidupan manusia. Kita adakalanya leka dengan masalah dan kehidupan dunia sehingga tidak berfikir tujuan asal dan tiket yang sedia ada untuk kita menuju alam abadi. Oleh itu, tanyalah diri sudah bersediakah kita/. Cukupkah bekalan yang perlu dibawa; mari bersama kita fikirkan. Moga perjalanan menuju titian sirat membawa kita ke syurga