Kerajaan Negeri Tidak Pernah Tawar Kontrak Dua Tahun Pada Kontraktor



SHAH ALAM 8 JUN : Kerajaan negeri Selangor tidak pernah meluluskan kontrak tender pembersihan selama dua tahun kepada mana- mana kontraktor termasuk Alam Flora.

Sebaliknya, kerajaan negeri hanya memperbaharui tender tersebut kepada Alam Flora secara bulanan.

Menteri Besar, Tan Sri Badul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak tahu menahu tentang dakwaan kontraktor yang mendakwa mereka mendapat tander pembersihan dari kerajaan negeri selama dua tahun, iaitu dari tahun 2011 hingga 2013.

"Sebenarnya tak ada kontraktor yang menerima kontrak sebegitu, kontraktor yang ada dulu dengan Alam Flora Sdn Bhd, dikontrak bulan ke bulan jadi bagaimana pula kontrak bulan ke bulan boleh jadi kontrak dua tahun ?" soal Khalid.

Khalid menjelaskan, kerajaan negeri pada mulanya berhasrat untuk memberikan tander pembersihan selama dua tahun kepada Alam Flora, namun ia tidak dapat dilaksanakan akibat beberapa masalah teknikal diperingkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Alam Flora hanya mendapat kontrak bulan ke bulan, menunggu keputusan kementerian untuk memberikan kuasa sepenuhnya kepada Alam Flora walau bagaimanapun kementerian tidak dapat melaksanakan perkara tersebut oleh kerana beberapa masalah teknikal yang mesti diselesaikan."
Justeru Khalid berkata, jika terdapat kontraktor lantikan Alam Flora dijanjikan tender pembersihan selama dua tahun, ia bukan arahan dan tiada sebarang kaitan dengan kerajaan negeri.

Khalid berkata demikian mengulas dakwaan kontraktor lantikan Alam Flora yang terkesan akibat keputusan kerajaan negeri yang menamatkan perkhidmatan Alam Flora, 18 April lalu, setelah mendapat banyak aduan dari orang awam.

Pengurusan pembersihan itu dikembalikan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagaimanapun, Alam Flora masih dipertanggungjawabkan untuk mengutip sampah dari rumah ke rumah.

"Kerajaan negeri telah membuat keputusan mengenai operasi penggumpulan dan pelupusan sampah adalah di bawah Alam Flora, kontrak itu akan diberikan kepada Alam Flora tapi operasi mengenai pembersihan, cuci longkang dan juga penebasan rumput, pembersihan kawasan semuanya kita masukkan di bawah jagaan dan pengurusan PBT," katanya.

sumber : tv selangor

0 comments

Leave a Reply

Copyright 2011 Designed by SeutasTasbih Blog